Cerita Aiman (Bukan nama sebenar)…

 

Ini pula cerita Aiman (bukan nama sebenar).

 

Aiman murid Tahun 2 tahun di sebuah sekolah di Ampang.

 

Tahun lepas Aiman dijadualkan masuk Tahun 1, tetapi Aiman hanya sempat belajar di dalam sekolah hampir 3 bulan sahaja sebelum PKP dilaksanakan.

 

Bapa Aiman seorang pemandu teksi. Ibu Aiman seorang kerani di sebuah syarikat.

 

Aiman mempunyai 2 orang kakak. Seorang merupakan siswa di sebuah universiti tempatan. Seorang lagi sedang belajar Tingkatan 4 di sebuah sekolah berdekatan.

 

Pendapat ibu dan bapa Aiman selepas digabung, RM2.9K. Keluarga Aiman di bawah kategori B40 B2.

 

Aiman pernah masuk pra-sekolah. Aiman sudah mula didedahkan dengan 3M iaitu membaca, menulis dan mengira.

 

Tetapi Aiman tidak dapat menguasainya betul-betul. Apabila sekolah ditutup, pembelajaran Aiman turut terganggu. Aktiviti-aktiviti yang bersifat mendidik dan mendorong Aiman untuk menguasai 3M semuanya terbantut.

 

Sekarang PdPR, Aiman tak dapat menjalaninya betul-betul kerana terpaksa berkongsi peranti dengan kakaknya.

 

Jika Aiman boleh masuk ke kelas pun, silibus Tahun 2 semuanya adalah silibus untuk murid yang sudah menguasai 3M. Aiman tidak dapat memahaminya dengan baik.

 

Jika keadaan berterusan, Aiman akan terus ketinggalan. Sudah banyak yang Aiman terlepas.

 

Internet di rumah juga Aiman hanya berkongsi hotspot dengan kakaknya. Lebih dari 2 peranti menggunakan internet, internet sudah lemah dan tidak stabil.

 

Apa akan jadi kepada Aiman jika tiada apa-apa dilakukan?

 

Aiman tidak bersemangat, tiada motivasi, dan tidak tahu apa harus dilakukan. Kawan-kawan Aiman semua sudah boleh 3M dan boleh faham apa yang diajar oleh cikgu, tetapi tidak Aiman.

 

Jika tiada apa-apa dilakukan, Aiman akan berhadapan dengan situasi di mana Aiman tidak mempunyai sebab untuk meneruskan pembelajaran.

 

Keputusan paling mudah buat Aiman ialah berhenti belajar dan teruskan hidup tanpa tekanan untuk faham apa yang Aiman tidak mampu untuk faham.

 

Saat itu, masa depan Aiman sudah kabur, sudah tidak menentu.

 

Pendidikan ialah penentu masa depan yang baik. Tanpa pendidikan, nasib Aiman dan nasib keluarga berada dalam keadaan yang sangat membimbangkan.

 

Aiman akan terlibat dengan banyak masalah sosial yang tidak dijangka. Aiman juga akan memasuki beberapa situasi yang lebih sukar apabila mahu mencari pekerjaan nanti.

 

Kitaran masalah ini akan terus berlarutan. Apa yang menyedihkan, jika tidak dibendung, akan lebih ramai murid senasib Aiman. Inilah apa yang disebut sebagai lost generation.

 

Generasi Aiman generasi yang hilang arah, tercicir, dan terpinggir dari arus pendidikan yang sepatutnya.

 

Apa yang harus kita, sebagai masyarakat yang sedar dan prihatin, boleh lakukan untuk menyelamatkan Aiman?

 

Kita boleh membantu Aiman dan mengurangkan risiko yang Aiman bakal hadapi dengan menaja Aiman mendapatkan intervensi yang sepatutnya bagi Aiman.

 

Melalui bantuan kecil kita, Aiman akan diajar menguasai 3M secara bertumpu. Tiada tekanan untuk Aiman faham apa yang Aiman memang tak mampu faham. Aiman perlu mula belajar apa yang Aiman patut belajar dalam keadaan yang menyeronokkan.

 

Selamatkan Aiman, dan selamatkan lebih ramai murid senasib Aiman di luar sana dengan menaja projek Selamatkan 1,000 Murid Cicir hari ini.

 

Bit.ly/tajamuridcicir

 

Add a Comment