Pelajar Universiti Perlu Menyiapkan Diri Dengan Kemahiran Asas Bagi Merebut Peluang Pekerjaan

Pelajar Universiti Perlu Menyiapkan Diri Dengan Kemahiran Asas Bagi Merebut Peluang Pekerjaan

Oleh: MUHAMMAD HAFIZ BIN RAHIM

Dalam era yang semakin mencabar ini, pelajar universiti berhadapan dengan kekurangan peluang pekerjaan dan persaingan yang sangat tinggi untuk mendapatkan sesuatu pekerjaan. Masalah ini menyebabkan peningkatan kadar pengangguran dan kualiti graduan universiti juga semakin dipandang rendah oleh sesetengah pihak.

Apa yang menyedihkan lagi, masih terdapat sebahagian pelajar universiti yang masih belum sedar dengan keadaan pada masa kini dan mereka masih berfikiran bahawa datang ke universiti hanya untuk mendapatkan segulung ijazah sahaja dan kemudian mendapat pekerjaan setelah mereka tamat pengajian.

Pelbagai program telah banyak dilaksanakan oleh pihak universiti bagi memastikan tahap kebolehpasaran graduan ini meningkat sesuai dengan keadaan semasa. Walaubagaimanapun, tidak semua program yang dilaksanakan mendapat sambutan yang menggalakkan daripada kalangan pelajar universiti kerana masih terdapat sebahagian daripada mereka ini masih berada di zon selesa sehingga mengabaikan kehendak semasa untuk mereka mendapatkan pekerjaan di kemudian hari.

Meningkatkan tahap kebolehpasaran graduan tidak hanya datang melalui peranan pihak universiti ataupun pihak yang bekaitan. Malahan, ianya mesti juga datang daripada kesedaran dan persediaan yang perlu ada dalam diri seseorang pelajar universiti itu dalam menghadapi pelbagai cabaran dan kehendak semasa.

Selain itu, adalah sangat diharapkan pelajar universiti ini dapat meningkatkan tahap kebolehpasaran mereka dengan mengikuti pelbagai bentuk program kepimpinan, kesukarelawan dan sebagainya dalam memastikan mereka mempunyai persediaan yang mencukupi dalam merebut peluang pekerjaan yang semakin terhad pada masa kini.

Oleh itu, graduan juga disarankan untuk menceburi bidang teknologi maklumat kerana ianya akan banyak memberikan manfaat kepada seseorang graduan itu di mana mereka boleh menghasilkan pekerjaan secara digital sebagai Freelancer dan sebagainya. Dengan ini, mereka dapat menghasilkan pekerjaan dan dapat memperolehi hasil pendapatan bagi menampung keperluan hidup mereka.

Kesimpulannya, persediaan yang rapi perlu dilakukan oleh setiap pelajar universiti bagi mendapatkan peluang pekerjaan di mana persediaan ini tidak dilakukan hanya selepas mereka tamat pengajian. Malahan, persediaan yang awal perlu dilakukan sebelum mereka melanjutkan pengajian ke peringkat universiti lagi sebenarnya.

 

 

 

 

 

Add a Comment