Secebis Kisah di Hari Guru

Secebis Kisah di Hari Guru

Oleh: Dr Maszlee Malik

Setiap kali Hari Guru tiba, pasti ada rasa sedih dan sayu menyelubungi hati saya.

Saya sudah ceritakan banyak kisah waktu kecil saya, bersama dengan guru-guru yang banyak memberikan kesan dalam hidup saya.

Tetapi jarang sebenarnya saya bercerita momen saya ketika menjadi Menteri.

Masa mula-mula masuk ke pejabat dulu, saya isi hari-hari pertama saya dengan pergi ke sekolah.

Mulanya pihak Kementerian minta maklum mereka dahulu kerana sudah menjadi lumrah, pengurusan tertinggi akan ikut bersama.

Tapi bila saya sampai sahaja ke sekolah, penuh orang menunggu. Cikgu-cikgu memakai baju batik, berbaris menyambut saya. Ada cikgu yang kena masak sebab nak kena bagi saya makan.

Ada juga cikgu yang ditugaskan itu dan ini. Mereka tahu sangat saya jenis suka masuk ke kelas, jadi cikgu-cikgu kena pastikan kelas diperhias semolek mungkin.

Sejak itu saya sudah tahu. Cikgu-cikgu tentu banyak menghabiskan masa untuk menyambut tetamu ‘VIP’ macam saya.

Selepas itu, kebanyakan masa, saya sudah tidak lagi memaklumkan perancangan saya jika saya mahu ke sekolah, kecuali memang saya dijemput untuk merasmikan mana-mana program.

Saya akan hadir secara mengejut sahaja.

Saya suka tiba-tiba muncul di bilik guru dan tengok cikgu sedang menyemak kerja rumah murid-murid.

Ada juga cikgu yang sedang mengisi buku kerja. Masa itu saya tahu apakah yang dimaksudkan kerja-kerja perkeranian yang membebankan para guru.

Balik pejabat, saya terus minta pegawai bentukkan jawatankuasa khas yang terdiri daripada cikgu-cikgu untuk kurangkan beban guru.

Hasrat saya waktu itu nak hapuskan semua beban guru.

Tapi mereka nasihat saya, proses ini mengambil masa yang lama kerana ekosistem pentadbiran di sekolah kita masih tidak bersedia.

Syukur Alhamdulillah, sebelum saya letak jawatan, sekurang-kurangnya 60% beban guru telah diringankan.

Jika ikutkan perancangan tahunan, sekurang-kurangnya hujung tahun ini 80% beban guru akan diringankan.

Pagi 2 Januari itu, saya pergi ke sekolah, selain nak sambut anak-anak masuk sekolah sebenarnya nak jumpa cikgu-cikgu.

Semasa saya duduk-duduk dengan mereka, saya beritahu saya minta maaf. Mereka pelik kenapa saya minta maaf, sehinggalah petang itu setelah mereka mendapat berita saya telah meletakkan jawatan.

Ada sekali itu saya turun ke sekolah pedalaman di Sarawak dan sedang tengok cikgu-cikgu sedang berborak di kantin.

Saya sertai mereka. Mereka terkejut dan terkedu. Saya tanya mereka, jika mereka jadi menteri, apa yang mereka nak buat?

Ada seorang cikgu beritahu saya, masalah yang dia nak selesaikan hanyalah masalah cikgu duka lara.

Saya tanya mereka bagaimana nak selesaikan masalah yang paling rumit dari semua masalah di dunia ini?

Walaupun masalah ini rumit, ia tidak semestinya tidak boleh diselesaikan. Paling-paling pun, kita boleh mudahkan apa yang boleh dimudahkan.

Saya pulang ke pejabat dan beritahu pegawai, kita perlu penuhkan semaksimum mungkin kuota pertukaran guru. Cari sebab untuk benarkan mereka pindah berbanding sebab untuk halang mereka pindah.

Ikut perancangannya, tahun ini akan dilancarkan satu aplikasi untuk cikgu-cikgu mohon tukar suka sama suka. Sebenarnya proposalnya sudah lengkap, yang tinggal hanya tindakan dan pelancaran sahaja.

Saya tidak pasti status perancangan itu bagaimana sekarang.

Yang pasti, walaupun ada banyak keadaan di mana usaha-usaha ini terpaksa melalui liku-liku prosedur dan sebagainya, saya tetap mahu ia dapat dilaksanakan sebab tujuannya cumalah satu, iaitu guru-guru.

Saya pastikan, apa-apa sahaja perubahan ia mesti berpusatkan kepada guru-guru. Guru-guru mesti menjadi tonggak dan teras dalam setiap tindakan dan perancangan.

Semasa nak bentuk Jawatankuasa Kajian Dasar untuk rangka reformasi besar-besaran sistem pendidikan negara pun, ramai cikgu dan pelajar yang dipanggil.

Dan laporan yang mereka berikan, syor-syor yang mereka suarakan, sangat-sangat memuaskan hati. Mana tidaknya, guru dan pelajar duduk berbengkel berhari-hari untuk sama-sama tambah baik pendidikan negara.

Walaupun syor-syor ini tidak sempat dilaksanakan, ia akan menjadi satu naskhah dan proposal yang sangat penting dan bersejarah. Saya simpan dan dokumentasikan baik-baik.

Begitulah sedikit coretan saya bersama guru-guru.

Jika nak cerita semua, memang tak habis.

Terima kasih cikgu-cikgu semua, yang pernah saya jumpa juga yang tak pernah saya jumpa, terima kasih kerana menjadi kekuatan saya di hari-hari yang saya sangat perlukannya.

Terima kasih kerana dalam setiap lelah dan keluh, cikgu-cikgu tak pernah berputus asa. Tetap cekal dan tabah untuk bangun setiap hari dan pergi sekolah mendidik anak bangsa.

Terima kasih atas segala-galanya.

Add a Comment